19/09/2017

PENULISAN 12 : Sumbangan kepada ibu bapa

Semua orang berusaha untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
Huraikan sumbangan yang akan anda berikan kepada ibu bapa jika anda telah berjaya dalam kerjaya pada satu masa nanti.  

Pendahuluan 1
       Ketika saya dilahirkan di Hospital Slim pada pukul 11.12 pagi, pada tarikh 07 Ogos 1999, ibu dan bapa saya sudah pasti berada di mercu kebahagiaan dan keterujaan. Begitulah doa dan harapan ibu bapa terhadap setiap anak. Pastinya, saya akan dihantar ke sekolah dengan harapan beroleh kejayaan dan kehidupan saya akan menjadi lebih baik daripada kehidupan mereka. Ibu bapa merupakan orang yang terpenting di sebalik kejayaan anak-anak. Ibu bapa berkorban jiwa raga, masa dan wang ringgit untuk memastikan anak-anak mereka berjaya. Ibu bapa jugalah yang memberi panduan kepada anak-anak agar tidak terpesong daripada landasan kejayaan. Persoalannya, bagaimanakah saya boleh mengapresiasikan jasa dan pengorbanan mereka. Apakah sumbangan yang akan saya berikan kepada ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti?

Pendahuluan 2
Kejayaan merupakan satu anugerah bagi orang yang berusaha. Orang tua-tua pernah menyebut bahawa usaha tangga kejayaan. Pakar Motivasi, Dr. Shukri Abdullah berkata bahawa, pemisahan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal adalah sikap rajin. Orang yang rajin akan berjaya manakala orang yang gagal akan kecewa. Kejayaan bukan bergantung kepada nasib tetapi kerjaya akan dapat direalisasikan jika ada usaha yang padu dalam keluarga. Ibu bapa merupakan orang yang terpenting di sebalik kejayaan seseorang. Ibu bapa berkorban jiwa raga, masa dan wang ringgit untuk memastikan anak-anak mereka berjaya. Ibu bapa jugalah yang memberi panduan kepada anak-anak agar tidak terpesong daripada landasan kejayaan. Persoalannya, apakah sumbangan yang akan saya berikan kepada ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti?

Jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya akan membalas jasa ibu bapa dengan memberikan wang kepada ibu bapa saya setiap bulan tidak kira ibu bapa saya berkedudukan atau berjawatan dan mempunyai pendapatan yang baik. Ibu bapa saya boleh menggunakan wang tersebut untuk keperluan harian dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan mereka seperti kesihatan. Saya akan memastikan wang yang saya berikan itu mencukupi untuk kegunaan harian dan kebajikan mereka. Saya akan bertanya kepada ibu bapa saya berkaitan jumlah wang yang diperlukan oleh mereka. Sekiranya, pemberian saya tidak memadai dan mencukupi, saya akan sentiasa menambahkan kiriman tersebut sesuai dengan pendapatan yang  saya peroleh. Saya akan menggunakan pelbagai cara untuk memberikan wang kepada mereka. Contohnya, saya akan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank ibu bapa saya secara terus kepada mereka atau pun mengirimkan wang menerusi kiriman wang pos dan sebagainya.  Dengan adanya wang di tangan mereka, hati mereka akan tenang dan kehidupan mereka akan senang. Jadi, pemberian wang merupakan salah satu sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti untuk menggembirakan mereka.

Selain memberikan wang tunai secara tetap, saya juga akan membawa ibu bapa saya menunaikan haji atau umrah serta melancong ke tempat-tempat yang disukai mereka jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Selama ini, Ibu bapa saya mungkin  tidak berpeluang untuk menunaikan haji dan umrah atau makan angin serta melancong ke mana-mana kerana pendapatan mereka yang terhad ketika membesarkan saya dan adik-beradik yang lain. Pada hemat saya, inilah masa yang sesuai untuk membawa ibu bapa saya menunaikan umrah dan haji atau melancong sambil menggembirakan mereka. Setiap ibu bapa pasti gembira dan bersyukur seandainya anak-anak dapat memenuhi impian mereka untuk pergi ke Tanah Suci menunaikan rukun Islam yang ke-5. Selain itu, saya juga akan membawa ibu bapa saya melancong dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti mengunjungi  Bumi Anbiya’ di Jordan, Syria,  Turki dan Mesir  untuk melihat sendiri kesan peninggalan dan penyebaran Islam di sana. Oleh itu,  menghantar ibu bapa menunaikan haji atau umrah dan melancong bersama ibu bapa merupakan sumbangan saya jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti.

Di samping itu, saya juga akan membelikan insurans kesihatan kepada ibu bapa saya jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Saya berpendapat bahawa insurans sebegini sangat penting kepada ibu bapa kerana peribahasa Melayu sering menyebut, sediakan payung sebelum hujan. Jika ibu bapa saya menghadapi masalah kesihatan, mereka tidak perlu risau kerana melalui pembelian insurans kesihatan, mereka akan mendapat rawatan terbaik. Sebagai contoh, jika ibu bapa saya sakit, saya akan membawa mereka ke hospital swasta yang terbaik dan merawat mereka segera melalui skim insurans yang di tawarkan. Saya tidak mahu ibu bapa saya menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan untuk dirinya di hospital biasa. Kita faham bahawa nisbah seorang doktor dan pesakit di hospital biasa ialah 1:100. Bilangan rakyat yang memerlukan rawatan di hospital terlalu ramai. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, saya akan menyediakan insurans kesihatan untuk ibu bapa saya agar mereka mendapat rawatan terbaik pada hari tua mereka. Jadi jelaslah bahawa pembelian insurans kesihatan merupakan sumbangan yang dapat saya berikan kepada ibu bapa saya jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti.

Seterusnya, jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya akan membina sebuah rumah yang indah dan lengkap dengan segala kemudahan  untuk kedua-dua ibu bapa saya nanti. Rumah tersebut akan didirikan di kawasan pinggir bandar yang berdekatan dengan masjid atau surau dan pusat beli-belah. Rumah yang disediakan ini mempunyai beberapa buah bilik. Selain bilik tidur yang dilengkapi perabot, saya juga akan menyediakan bilik-bilik khas untuk ibu bapa saya menjalankan aktiviti harian tanpa sebarang gangguan seperti bilik riadah, bilik ibadat, dan bilik bacaan. Dengan adanya bilik-bilik khas ini, ibu bapa saya akan dapat menjalankan aktiviti dalam suasana yang kondusif. Mereka juga dapat melakukan senaman untuk menjaga kesihatan walaupun ketika hujan. Salah satu contoh rumah agam yang menjadi idaman saya untuk disumbangkan kepada ibu bapa saya adalah seperti rumah yang dimiliki oleh  Datuk Yusuf Haslam yang bernilai RM6 juta. Jadi, rumah agam yang lengkap merupakan sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya satu masa nanti.

Akhir sekali, saya akan menyumbangkan sebuah dusun seluas beberapa ekar kepada ibu bapa  jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti. Ibu bapa saya telah bersusah payah mengerjakan tanah yang tidak sampai suku ekar sewaktu membesarkan saya. Mereka sanggup membanting tulang berbakti kepada tanah untuk mencari rezeki dalam membesarkan saya adik-beradik. Sebagai cara untuk membalas jasa mereka, saya akan menyediakan dusun bersama-sama pembantu khas. Tempat menjadi pilihan saya mestilah kawasan yang mempunyai sungai kecil yang berbatu-batu dan sesuai menjadi tempat beristirahat seperti di Janda Baik, Pahang. Di dusun tersebut juga, saya akan menanam pokok buah-buahan seperti durian, pulasan dan manggis yang menjadi kegemaran ibu bapa saya. Dusun tersebut merupakan contoh dusun yang akan saya sumbangkan agar mereka dapat menikmati keindahan alam semula jadi. Saya yakin bahawa sumbangan ini akan menyebabkan ibu bapa saya ceria dan gembira. Sebagai orang tua yang sudah lama tinggal di kampung, saya faham tentang jiwa ibu bapa saya yang tidak akan meninggalkan rumah dan tanah tempat kelahiran mereka. Sudah terang lagikan bersuluh, sumbangan  dusun seluas beberapa ekar akan saya sempurnakan untuk ibu bapa saya nanti jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti.

Berdasarkan huraian berkaitan sumbangan saya terhadap ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti, saya yakin impian ini akan terlaksana dalam tempoh sepuluh tahun lagi. Hal ini demikian kerana pencapaian saya dalam bidang akademik sangat terserlah. Kejayaan dalam bidang akademik akan membolehkan saya membina kerjaya yang cemerlang. Kecemerlangan dalam kerjaya akan membolehkan saya memberikan sumbangan yang bermakna kepada kedua-dua ibu bapa saya yang telah bersusah payah memelihara, mengasuh dan mendidik  saya tanpa jemu. Jika ditakdirkan saya kurang berjaya sekalipun, saya akan tetap memberikan sumbangan mengikut kemampuan saya. Kata-kata hikmah yang sering diucap, harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Kesimpulannya, saya perlu belajar bersungguh-sungguh agar impian untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa akan  terlaksana.

sumber asal : http://ishakmdshah.blogspot.my/

No comments: